Organisasi SCICO 2011

Ahad, 15 Mei 2011

Usahawan yang sebenar tidak takut menghadapi kegagalan. Bukan sahaja mereka tidak takut menghadapi kegagalan malahan mereka melihat setiap kegagalan dalam usahanya itu adalah pengalaman yang perlu dipelajari dan menjadikannya sebagai langkah untuk menghampiri kejayaan.

Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah apakah maksud perkataan “gagal”? Apakah yang dimaksudkan dengan “gagal” atau “berjaya”? Adakah berjaya itu bermaksud anda mampu membayar semua perbelanjaan sara hidup atau berjaya itu bermaksud anda mempunyai jalan keluar dari masalah? Begitu juga “gagal”. Apa yang dimaksudkan dengan “gagal”? Jika dalam tempoh setahun anda begitu sukar mendapatkan sebarang projek perniagaan dan dalam tempoh itu perniagaan anda membayar semua perbelanjaan sara hidup tanpa anda mampu mendapat gaji dari perniagaan tersebut, adakah itu bermaksud anda gagal? Dan, bagaimana pula jika begitu keadaan perniagaan anda dan anda membuat keputusan menjual perniagaan tersebut dengan keuntungan yang sangat sedikit, adakah itu membawa maksud kegagalan? Atau, gagal itu bermaksud anda terpaksa menutup perniagaan anda dan dalam masa yang sama anda juga tidak berjaya menjual perniagaan tersebut kepada orang lain? Sebenarnya tiada jawapan yang mudah untuk menerangkan mengenai gagal dan berjaya dalam perniagaan, kerana gagal dan berjaya dalam perniagaan sangat abstrak. Kegagalan dalam sesuatu perniagaan kadangkala merupakan kejayaan dari sudut yang lain. Kegagalan demi kegagalan pada masa lalu itu jugalah yang akan menjadi benteng atau tembok kepada kejayaan dimasa hadapan.

Sangat jarang berlaku seorang usahawan terus berjaya dalam percubaannya kali yang pertama. Pada kebiasaannya, mereka akan menghadapi beberapa kegagalan sebelum mereka menemui kejayaan.

Bagi kebanyakan usahawan, gagal adalah sekolah yang tidak pernah habis. Mereka tidak boleh hanya terikat kepada sesuatu peraturan, cara atau sistem. Mereka perlu keluar dari kebiasaan, memecah masuk ke dalam sistem berkaitan selok-belok perniagaan dan mempelajari apa yang mereka perlu tahu untuk meneruskan usaha dengan pelbagai cara bagi mencapai kejayaan.

Selalunya keusahawanan di kaitkan dengan pemilik perniagaan atau golongan manusia yang berniaga untuk menampung keperluan hidup mereka.  Itu hanyalah maksud yang anda boleh peroleh dari buku – buku dan kamus – kamus. Sekarang, mari kita hayati maksud usahawan dalam skop yang lebih besar iaitu dari pandangan seorang usahawan sendiri.

1.    Usahawan adalah seseorang yang pandai merebut peluang perniagaan walaupun mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menjayakannya.
Pernahkah anda mencuba untuk memulakan perniagaan tetapi akhirnya niat itu anda batalkan kerana tidak cukup modal atau ilmu ? Jika pernah, anda tidak mempunyai semangat usahawan yang tinggi. Usahawan akan merebut peluang  dahulu , walaupun mereka tidak mempunyai kemampuan dari segi pekerja atau wang, mereka yakin bahawa mereka boleh menjayakannya. Ini adalah semangat usahawan sebenar.

2.    Seorang usahawan sentiasa mengambil risiko yang boleh mereka tanggung.
Seorang usahawan tidak kisah jika mereka gagal tetapi mereka hanya ambil risiko yang boleh mereka tanggung. Ada di kalangan usahawan melakukan perkara yang lebih tinggi dari kemampuan mereka sendiri dan banyak dari mereka gagal tersungkur di sebabkan ketidakmampuan mereka menanggung risiko yang mereka wujudkan.

3.    Usahawan adalah seseorang yang terus terjun ke alam perniagaan tanpa mempunyai kemahiran atau modal dan akhirnya gagal.
Seorang usahawan mempunyai hati kering dan sentiasa positif di dalam hidupnya. Mereka selalunya gagal dalam beberapa kali percubaan pertama. Untuk belajar menjadi usahawan yang berjaya bukanlah melalui buku tetapi melalui pengalaman.

4.    Usahawan adalah seseorang yang membuka satu perniagan, kemudian perniagaan yang lain dan perniagaan yang lain.

Usahawan tidak terhad pada satu perniagaan sahaja, mereka akan sentiasa melihat peluang yang ada dan akan sentiasa menyambar peluang perniagaan yang mereka nampak.
Di sini, anda nilai sendiri adakah anda seorang usahawan. Seorang usahawan sentiasa memperbaiki dirinya sendiri walaupun seorang pengemis yang mengajar dia erti hidup.

0 Komen:

Catat Ulasan