Organisasi SCICO 2011

Ahad, 15 Mei 2011

Sukan di Malaysia

       Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), program pembangunan sukan dilaksana oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta sektor swasta dan pertubuhan sukan kebangsaan bagi menggalakkan gaya hidup sihat di samping membina sahsiah, semangat berpasukan dan muhibbah di kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai usaha diambil bagi menarik lebih ramai penyertaan dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

         Mengambil kira kepentingan dan sumbangan sukan ke arah meningkatkan perpaduan negara dan menyemai semangat patriotik dan perpaduan serta membina masyarakat yang berdisiplin dan berdaya saing, usaha menggalakkan sukan massa dan sukan berprestasi tinggi akan terus dijalankan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9). Penekanan akan diberi dalam mewujudkan budaya bersukan di kalangan rakyat Malaysia bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta mencapai kecemerlangan dan pengiktirafan dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
         Dalam tempoh RMKe-8, pelbagai langkah dilaksanakan bagi menyediakan satu persekitaran yang membolehkan pembangunan sukan dalam negara termasuk latihan kepada atlit, jurulatih dan pegawai sukan, pembangunan kemudahan serta penganjuran pertandingan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Usaha ini memberi dorongan kepada pembangunan sukan dan menyumbang ke arah pertumbuhan industri pelancongan. Bagi mencapai kecemerlangan dalam pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa, penekanan diberi kepada pembangunan program sukan berprestasi tinggi manakala program Sukan Untuk Semua terus dipromosi bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan dan rekreasi

         Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 564 persatuan sukan didaftarkan selaras dengan Akta Pembangunan Sukan, 1997. Akta ini membolehkan Pesuruhjaya Sukan memastikan persatuan sukan diurus dan ditadbir dengan lebih bersistem, cekap dan profesional. Sejumlah 29 persatuan dibatalkan pendaftaran atas pelbagai sebab mengikut peruntukan di bawah Akta tersebut. Bagi meningkatkan lagi profesionalisme di kalangan pemegang jawatan persatuan sukan, pelbagai kursus dikendalikan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan seramai 2,491 pegawai dilatih dalam tempoh Rancangan.







Program Sukan Berprestasi Tinggi

           Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan menaik taraf dan mengubahsuai serta membina kemudahan sukan di peringkat kebangsaan dan negeri. Langkah tersebut termasuk menaik taraf stadium dan kompleks sukan seperti Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban dan Kompleks Sukan Paroi di Negeri Sembilan serta pembinaan kemudahan baru termasuk Kompleks Sukan Negeri Melaka dan Kompleks Sukan Tawau, Sabah.
 
           Bagi membolehkan penyertaan dalam pertandingan di peringkat antarabangsa, pelbagai program yang bertujuan membentuk satu kumpulan bakat muda berpotensi menjadi juara dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Sehubungan ini, Program Persediaan Atlit Sukan Komanwel, Program Persediaan Atlit Sukan Asia Tenggara (SEA) dan Program Pembangunan Belia dan Bakat terus dilaksana dalam tempoh Rancangan bagi menyediakan atlit muda dengan latihan yang bersistem. Program latihan jangka panjang tersebut meningkatkan prestasi atlit kebangsaan dengan Malaysia menjadi juara buat pertama kali dalam Sukan SEA XXI pada tahun 2001 dan atlit Malaysia layak menyertai dalam 11 acara sukan dalam Sukan Olimpik di Athens pada tahun 2004 berbanding dengan sembilan acara sukan dalam Sukan Olimpik di Sydney pada tahun 2000.

           Atlit Malaysia juga cemerlang dalam kejohanan individu untuk mencapai taraf dunia dalam acara sukan seperti badminton, boling tenpin, skuasy, acara terjun, bina badan, wushu serta sukan tradisional seperti pencak silat. Atlit Malaysia menyertai,antara lain, Kejohanan Pencak Silat Dunia pada tahun 2003, Kejohanan Badminton Dunia, Kejohanan FIQ Dunia untuk boling tenpin, Kejohanan Terbuka Britain dan Kejohanan Dunia untuk skuasy pada tahun 2005.

           Latihan kepada atlit, jurulatih dan pegawai sukan untuk pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa terus dilaksana oleh persatuan sukan berkaitan dan MSN. Badan tersebut menyediakan latihan yang perlu kepada atlit untuk menyertai pertandingan antarabangsa seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan SEA dan Sukan Olimpik. Dalam tempoh Rancangan, Malaysia berjaya menjadi tuan rumah acara sukan kompetitif termasuk Sukan SEA XXI dan Kejohanan Hoki Piala Dunia pada tahun 2001, Kejohananan Boling Tenpin Dunia XV pada tahun 2003, Kejohanan Menembak Piala ASEAN pada tahun 2004 dan Regatta Antarabangsa Raja Muda VI serta Piala Monsoon pada tahun 2005. Di samping itu, dengan menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa lain seperti Bot Berkuasa Tinggi, Le Tour de Langkawi dan Formula One Grand Prix dapat membantu pertumbuhan industri sukan serta menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan.

          Bagi mewujudkan asas untuk penyertaan dalam sukan berprestasi tinggi, satu pendekatan yang lebih bersistem bagi mengenalpasti dan menyedia atlit di peringkat awal di sekolah rendah dan menengah diguna pakai. Bagi tujuan ini, olahraga dan gimnastik dimasukkan dalam kurikulum pendidikan jasmani di sekolah, manakala bilangan guru pendidikan jasmani ditambah terutamanya di sekolah rendah. Satu progam mengenal pasti bakat telah dilaksanakan bagi mencari atlit muda yang berpotensi tinggi untuk dilatih di pusat latihan seluruh negara. Dalam tempoh Rancangan, seramai 2,370 atlit dilatih di 115 pusat latihan sukan oleh 208 jurulatih terlatih. Program latihan khusus juga dilaksana di institusi pendidikan tinggi bagi membolehkan atlit berpotensi meneruskan latihan sambil melanjutkan pengajian mereka.
 
         Dengan adanya kemudahan sukan bertaraf dunia, usaha diambil bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa serta tempat untuk melatih jurulatih dan atlit menerusi kerjasama dengan pertubuhan dan persatuan sukan antarabangsa. Atlit daripada negara beriklim sederhana digalak untuk menggunakan kemudahan yang ada dalam negara bagi tujuan latihan dalam keadaan iklim tropika. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 34 pasukan antarabangsa dalam pelbagai sukan seperti hoki, skuasy, memanah, bola sepak, renang dan olahraga mendapat manfaat daripada usaha tersebut.

         Bagi mengiktiraf sumbangan olahragawan dan olahragawati dan seterusnya menggalakkan penyertaan belia dalam sukan, Kerajaan memperkenal pelbagai insentif dan skim kebajikan. Sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pertandingan di peringkat antarabangsa, Skim Hadiah Kemenangan Sukan, Skim Hadiah Kemenangan Atlit Remaja, Skim Galakan Jurulatih Kebangsaan dan Skim Kecemerlangan Pengurusan Pasukan diteruskan dalam tempoh Rancangan. Sejumlah 250 atlit menerima insentif tersebut yang berjumlah RM6.1 juta..

0 Komen:

Catat Ulasan